Pengunduran Zizan Razak daripada program Melodi, dua minggu lalu, mencetuskan banyak tanda tanya pelbagai pihak. Walaupun pihak TV3 sudah menjelaskan ia disebabkankontrak pengacara terbabit yang sudah tamat, namun masih ada yang beranggapan bekas peserta program realiti Raja Lawak itu sebenarnya disingkirkan daripada rancangan berkenaan.
Desas-desus yang tersebar mengatakan Zizan disingkirkan kerana masalah disiplin. Atas sebab itu jugalah tempatnya diambil alih oleh duo dinamik, Sherry Al-Hadad dan Zulin Aziz. Enggan membiarkan spekulasi daripada terus bertebaran, HIP menghubungi Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin, bagi mendapatkan penjelasannya berhubung perkara itu.
Mengulangi alasan sama, Sherina menjelaskan, pengunduran Zizan tiada kena mengena dengan masalah disiplin. Menurutnya, Zizan tidak lagi mengacarakan rancangan Melodi kerana kontrak artis serba boleh itu sudah tamat dan bukannya beliau disingkirkan akibat masalah disiplin. Jadi, hentikan segala spekulasi yang tidak benar.