Mahkamah Putuskan Pernikahan Sham Kamikaze & Isteri Tidak Sah dan Terbatal..

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, memutuskan pernikahan antara bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Mohd Salleh (Sham) dengan isterinya, Nurul Halimin Mohd Salleh pada 16 Januari 2012 di Masjid Padang Ibu, Pulau Pinang adalah tidak sah dan terbatal.



Berikutan itu, Hakim syarie, Kamarulzaman Ali memerintahkan pernikahan pasangan itu difarakkan (dibubarkan) serta-merta mulai hari ini (27 Jun) dan sijil pernikahan yang disahkan palsu oleh Pejabat Agama Islam Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) dilupuskan.

Hakim Kamarulzaman memutuskan demikian selepas mendapati pernikahan itu dijalankan oleh wali hakim yang tidak sah, selain segala proses pernikahan diuruskan oleh pihak ketiga yang tidak bertauliah.

Beliau turut memutuskan anak pasangan itu, Aisy Dannial yang dilahirkan pada 21 Januari lalu adalah anak sah taraf dan boleh dinasabkan kepada Sham Kamikaze sebagai bapa kandung.

Dalam pada itu, Sham ketika ditemui media selepas prosiding memberitahu, dia mendapat tahu wali hakim yang digunakan tidak diiktiraf semasa ingin mendaftarkan nama anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Januari lalu. 

"Saya tidak menyangka pernikahan itu mempunyai masalah dan segera merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan kepastian. 

"Alhamdulillah semuanya selesai dan apa yang saya lakukan adalah demi melindungi keluarga saya. 

"Ia bukan sahaja mengenai taraf anak tetapi juga hak isteri saya di masa hadapan sekiranya sesuatu berlaku kepada saya. 

"Ada hikmah disebalik apa yang berlaku dan saya banyak belajar menerusi kejadian ini," jelasnya dipetik sebagai berkata. 

Sehubungan itu, dia dan Nurul Halimin akan bernikah semula dalam masa terdekat dengan menggunakan saluran yang betul. 

Sham sebelum ini pernah berkahwin dengan Farazila Abdul Jabar pada 17 Ogos 2008 di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor sebelum disahkan bercerai oleh mahkamah pada 1 September 2011.

sumber: rotikaya.com, myartis.com

Contact Form

Name

Email *

Message *